BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 6, 2010

Erti Sesuap Nasi

nasi

Apakah yang anda fikirkan apabila melihat gambar ini? Anda ingin meneka nasi apakah ini? Harum, sedap, lazat, aroma memikat? Atau anda lebih tertarik dengan bekas polisterin jenama ‘Shang Wei’ ini? Apa yang ingin saya bicarakan bukanlah tentang nasi ini, dari mana ia dibeli, lazat atau tidak, atau tentang kesan polisterin ke atas tubuh badan manusia apabila mengisi makanan panas-panas. Mungkin topik itu akan dibicarakan di lain lembaran.

Di suatu pagi, saya bersantai menikmati segelas teh tarik dan sekeping roti canai di gerai ‘Bonda’, terletak di pasar basah berhampiran rumah saya. Pandangan saya tertumpu kepada satu suasanan yang membuatkan saya terfikir dan tersedu seketika.

Di hadapan saya, di seberang sana, seorang makcik menjual kain selimut terpakai. Walaupun terpakai, di mata saya ia kelihatan cantik dan menarik dengan corak tampalan yang kreatif. Dari kejauhan saya dapat melihat raut wajah beliau yang terkandung seribu makna. Dia duduk meneleku di tepi hamparan selimutnya. Sesekali mendongak kearah pengunjung yang lalu lalang di kawasan pasar. Mulutnya berkata sesuatu sambil menunjuk ke arah barang jualannya. Kemudian dia tunduk sambil menyeka peluh di dahi dengan tudungnya. Suasana semakin panas, matahari semakin meninggi. Saya kira, hasil jualan makcik hari itu belum menjadi lagi.

Hampir setengah jam, saya memerhatikan sahaja gelagat beliau yang tidak putus-putus mempromosikan produknya. Beliau bangun, duduk, mundar-mandir dan sesekali kelihatan mengeluh. Saya cuba membaca riak wajahnya. ‘Kenapalah hari ini belum ada yang hendak membeli? Cuaca semakin panas, kalau tak ada hasil jualan hari ini, nak makan apa? Lepaskah modal nak beli ikan hari ini? Esok nak bayar duit sukan sekolah Zamin. Syiqah pula kena beli buku tambahan. Entah apa-apa cikgu sekolahnya. Dah masuk bulan empat, beli buku lagi. Bil elektrik, air…haii..banyaknya nak bayar ni….’ Itu cuma fantasi saya. Tapi saya percaya, tidak banyak, sedikit pun, pasti ada betulnya.

Betapa sukarnya mencari sesuap nasi. Tidak ada perkara yang mudah dan datang bergolek. Kadang-kadang ibarat ‘kais pagi, makan pagi’. Ada masuk, bolehlah belanja. Ada masanya, langsung tiada hasil. Bukan tidak berusaha, tapi belum rezeki agaknya. Hanya makcik itu sahaja yang tahu apa yang berlegar di fikirannya dan terpendam di dalam hatinya. Saya memandang cebisan terakhir roti canai di dalam pinggan, dan perlahan-lahan mengucapkan syukur kerana masih berpeluang untuk merasai nikmat Allah S.W.T berbanding mereka di luar sana.

Dan kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri, apa yang diperolehi hari ini, belum tentu menjanjikan sesuatu di esok hari. Makcik itu perlahan-lahan bangun melipat kesemua kain selimutnya untuk pulang sahaja. Dan dari kejauhan juga saya dapat melihat, ada titisan air yang mengalir di pipinya. Peluhkah atau airmata?

Penulis : Suriati Johari
Sumber : http://cerita-cerita.net/2010/04/28/erti-sesuap-nasi/


kini keinsafan mula ku rasakan.
nikmat yang ku dapat ku janji tidak akan ku sia-siakan lagi... Insyaallah...

0 comments:

bErSyUkUR dGn aPE yG aDa